CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

TATABAHASA

KESILAPAN PENGGANDAAN KATA 


Salah satu kesilapan yang sering kita lakukan semasa membuat rumusan atau ringkasan ialah pengunaan kata ganda yang kadang-kadang mengelirukan kita. Jom kita semak perkataan-perkataan di bawah ini:

A) BANYAK ORGANISASI-ORGANISASI 
B) BEBERAPA ORANG PEMINAT-PEMINAT 
C) SEBAHAGIAN DARIPADA PENEROKA-PENEROKA
D) DUTA BESAR-DUTA BESAR
E) ANTARA KEDUA TUGAS 
F) BERBAGAI ISU-ISU 
G) DAUN-DAUN KERING BERGUGURAN 
F) LAMPU-LAMPU MERAH BERGANTUNGAN DI DINDING

Adakah anda perasan yang sebenarnya banyak kesalahan yang terdapat dalam senarai di atas? Persoalannya sekarang apakah kesalahan-kesalahannya dan mengapa penggunaannya salah? 

Bagi contoh (A)BANYAK ORGANISASI-ORGANISASI, kesalahannya terletak pada penggunaan kata BANYAK yang telah menunjukkan maksud jamak iaitu lebih daripada satu oleh itu perkataan organisasi tidak perlu digandakan.Namun gaya penulisan boleh dipelbagaikan samada menulis BANYAK ORGANISASI atau ORGANISASI-ORGANISASI.Begitu juga yang terjadi kepada (B) dan (C). BEBERAPA ORANG PEMNAT-PEMINAT menjadi BEBERAPA ORANG PEMINAT dan SEBAHAGIAN DARIPADA PENEROKA-PENEROKA menjadi SEBAHAGIAN DARIPADA PENEROKA

Contoh (D) pula melibatkan kata majmuk, yang apabila digandakan hanya unsur pertama kata yang digandakan iaitu DUTA, maka pembetulannya menjadi DUTA-DUTA BESAR

Perkataan ANTARA KEDUA TUGAS pula salah dari pengunaan perkataan KEDUA yang merujuk kepada kedudukan tempat , maka untuk merujuk maksud kesemuanya maka perkataan KEDUA perlu digandakan.Oleh itu, pembetulan bagi kesalahan ini ialah ANTARA KEDUA-DUA TUGAS. 

Perkataan BERBAGAI juga tidak boleh berdiri sendiri bagi menunjukkan maksud perkataan jamak. Oleh itu, perkataan tersebut perlu digandakan menjadi BERBAGAI-BAGAI atau PELBAGAI. Apabila unsur kata yang pertama membawa maksud jamak unsur kedua tidak perlu digandakan.Kesimpulannya pembetulan bagi perkataan (F) boleh ditulis menjadi PELBAGAI ISU atau BERBAGAI-BAGAI ISU.

Apakah pula kesalahan bagi (G) dan (H)? Maksud perkataan BERGUGURAN dan BERGANTUNGAN membawa maksud menyaling.Oleh itu, kata nama dalam frasa tersebut tidak perlu digandakan. Kesimpulannya , pembetulan bagi contoh ini ialah DAUN KERING BERGUGURAN dan LAMPU MERAH BERGANTUNGAN DI DINDING. 

Diharap agar penjelasan yang diberikan mampu menjana kefahaman pelajar-pelajar kerana :

"ROSAK BANGSA KERANA BAHASA,agar MELAYU TAK LAPUK DEK HUJAN, TAK LEKANG DEK PANAS"








PENGGUNAAN KATA


DALAM , DI DALAM, ATAS, DI ATAS, ANTARA DAN DI ANTARA



Contoh Ayat:-,

1. a) Tiga orang terbunuh dalam kemalangan itu.
            Mengapa kita menggunakan dalam kerana kemalangan memberi maksud abstrak.

2. b) Ibu menyimpan semua barang kemas di dalam peti
            Mengapa kita menggunakan di dalam kerana peti memberi maksud konkrit.

3. c) Dia menerima pujian daripada pengetua atas kejayaannya mendapat 8A dalam PMR.
            Mengapa kita menggunakan atas kerana kejayaan memberi maksud abstrak.

5. d) Buku saya masih di atas almari.
            Mengapa kita menggunakan di atas kerana almari memberi maksud konkrit.

6. e) Pergaduhan itu berlaku antara dua buah kumpulan haram di pekan itu
           Mengapa kita menggunakan antara kerana dua buah kumpulan memberi maksud kalangan.

7. f) Rumah saya terletak di antara sebuah bukit dan sebatang sungai.
           Mengapa kita menggunakan diantara kerana sebuah bukit dan sebatang sungai memberi maksud
           jarak.

KESIMPULANNYA:

  • dalam + abstrak
  • di dalam + konkrit/tempat
  • atas + abstrak
  • di atas + konkrit/tempat
  • antara + (kalangan)
  • di antara + (jarak)


"Buah akal ialah ilmu pengetahuan,buah jiwa adalah
                            iman dan buah fizikal ialah kemajuan”





15 Perkataan Bahasa Melayu Yang Bersambung:-



SURUHANJAYA 
WARGANEGARA
MANAKALA
ADAKALA
KAKITANGAN 
KADANGKALA
TANGGUNGJAWAB 
PESURUHJAYA
KERJASAMA
OLAHRAGA
SUKARELA 
PERIKEMANUSIAAN
ANTARABANGSA
JAWATANKUASA
TANDATANGAN



 "Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca  kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa  itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu  pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan  membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat    itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa."




IMBUHAN ‘meN-...-kan’ DAN ‘meN-...-i’




Imbuhan apitan meN-, meN-...-kan dan meN-...-i akan membentuk kata kerja transitif yang memerlukan  objek atau penyambut sebagai unsur predikatnya.
1. Kata Kerja apitan ‘meN-...-kan’ dan ‘meN-‘
                meN-...-kan = 2 objek (objek tepat dan objek sipi)
                meN-    =  1 objek dan frasa keterangan
                contoh: Pah Tijah membuatkan [Pak Mansor] [secawan kopi]
                                                                                    objek tepat             objek sipi
               
                Pah Tijah membuat [secawan kopi] untuk Pak Mansor.
                                                                Objek tepat         frasa keterangan


Imbuhan meN-...-kan
Imbuhan meN-
Naseer mencarikan Pak Zul akar Tongkat Ali.
Naseer mencari akar Tongkat Ali untuk Pak Zul
Ibu memasakkan bapa bubur kacang.
Ibu memasak bubur kacang untuk bapa.
Nazimah menjahitkan Hanif sehelai baju.
Nazimah menjahit sehelai baju untuk Hanif.
Min membelikan Syarifah senashkah majalah.
Min membeli senashkah majalah untuk Syarifah.

Kekecualian:
Terdapat kekecualian bagi rumus di atas bagi kata dasar beri dan ajar yang menerima imbuhan apitan meN-...-kan dan meN-
Contoh:                Kakak memberikan segelas air [kepada adik.]
                                                                            Objek          frasa keterangan
                                Kakak memberi adik [segelas air.]
                                                            Objek  tepat     objek sipi
                                Kakak mengajarkan Matematik kepada adik.
                                Kakak mengajar adik Matematik.

2. Kata kerja meN-...- kan dan meN-...-i dari segi kedudukan objek tepat dan objek sipi.

  • Kedua-dua jenis imbuhan ini boleh digabungkan dengan kata dasar yang sama.
  • meN-...-kan akan diikuti oleh objek tidak bernyawa (benda)
  • imbuhan meN-...-i pula akan menerima 2 objek (objek tepat [objek bernyawa] dan objek sipi)

Contoh: Baginda mengurniakan [hadiah] kepada pembesar istana itu.
                                                   KKT                  Objek             Frasa keterangan

                  Baginda mengurniai [pembesar istana itu] [hadiah].
                                                  KKT                    objek tepat                 objek sipi





Imbuhan meN-...-kan
Imbuhan meN-...-i
Puan Zu menghidangkan ayam goreng kepada kami.
Puan Zu menghidangi kami ayam goreng.
Sultan Kedah menganugerahkan bintang kehormatan kepada Perdana Menteri.
Sultan Kedah menganugerahi Perdana Menteri bintang kehormatan.
Ketua kampung menghadiahkan basikal kepada murid miskin.
Ketua kampung menghadiahi murid miskin sebuah basikal.

3. Kata kerja meN-...-kan dan meN-...-i dari sudut makna (semantik).
                Dari segi semantik iaitu makna, perkataan dasar yang bergabung dengan imbuhan meN-...-kan atau meN-...-i  juga membawa pengertian makna yang tidak sama. Oleh itu, rumus-rumus yang diterangkan di atas tidak boleh digunakan untuk kata dasar yang tidak sama dari segi makna apabila bergabung dengan imbuhan meN-...-kan dan meN-...-i. Contoh perkataan-perkataan itu adalah seperti yang berikut ini.

Kata dasar
Imbuhan apitan: meN-...-kan dan meN-...-i
turun
menurunkan – menuruni
masuk
memasukkan – memasuki
serta
menyertakan – menyertai
kahwin
mengahwinkan – mengahwini
jalan
menjalankan – menjalani
naik
menaikkan - menaiki

Contoh ayat:
Pemandu teksi itu menurunkan penumpang di hadapan bangunan itu. (menyuruh penumpang turun)
Bas yang sarat dengan penumpang itu menuruni jalan yang curam itu dengan lajunya. (turun melalui jalan yang curam).
  • Ibu memasukkan garam secukup rasa ke dalam gulai ayam itu. (membawa masuk garam, mengisi garam)
Siti akan memasuki acara lumba lari 100 meter. (mengambil bahagian dalam acara lumba lari)
  • Bapa menyertakan wang tunai bersama-sama dengan surat itu. (mengirimkan wang tunai bersama-sama, mengembarkan wang tunai bersama-sama)
Murid-murid itu akan menyertai acara larian maraton di Kuala Lumpur. (mengikut serta, mengikuti acara larian).
  • Pak Abu hendak mengahwinkan anak perempuannya dengan anak orang kaya itu. (menjadikan anaknya berkahwin)
Pak Abu mengahwini janda muda itu setelah isterinya meninggal dunia. (berkahwin dengan janda muda)
  • Para doktor bertungkus lumus menjalankan pembedahan itu. (melaksanakan pembedahan)
Pak Hassan telah selamat menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara. (mengalami atau melalui pembedahan jantung).
  • Ahli Pengakap itu menaikkan bendera Malaysia semasa perhimpunan sekolah. (menjadikan bendera naik)
Beberapa orang murid berebut-rebut untuk menaiki bas yang penuh dengan penumpang itu. (naik bas)

No comments:

Post a Comment