CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday 13 February 2013

JOM TILIK KERJA SEKOLAH


Bismillahirahmanirahim...
Alhamdulillah... cikgu sudah berjaya menyediakan semua tugasan untuk anak-anak kesayangan cikgu..... cikgu harap kalian dapat menyiapkan latihan tersebut mengikut perjanjian yang telah dibuat sebelum cuti...
semua latihan yang cikgu lampirkan ini perlulah kamu siapkan dalam bentuk folio untuk tingkatan 3, 4, dan 5 manakala murid tingkatan 1 boleh siapkan dan tampal dalam buku tatabahasa anda... dapatkan latihan anda  di bawah :


Jika terdapat sebarang kemusykilan, jemputlah bertanya di laman blog ini ye... baiklah selamat menjawab.


MAAFKAN CIKGU....

Assalamualaikum...



Seronok betul semua orang bercuti termasuklah cikgu.... hingga hampir terlupa cikgu akan janji-janji yang mesti dikota...baiklah... waktu bercuti dan berseronok sudah tamat maka marilah kita bergelumang dengan buku pelajaran pula... In Shaa Alah esok akan cikgu muat naik semua soalan dan latihan yang cikgu telah janjikan..

Wednesday 6 February 2013

JOM SEMAK FORMAT LAPORAN


Assalamualaikum anak-anak ....
Jom kita semak macam mana nak menulis laporan dan apa tujuannya kita menulis laporan.


Tuesday 5 February 2013

HASIL KERJA ANAK MURIDKU


ASSALAMUALAIKUM ...
Di sini cikgu hendak berkongsi hasil kerja murid-murid tingkatan 4 SI mengenai KOMSAS Tingkatan 4:



Monday 4 February 2013

untuk pelajar 5 SI novel Sutera Dalam lukisan


NOVEL SUTERA DALAM LUKISAN

Biodata Penulis


Jom kita tengok siapa penulis novel ini. Jom klik SINI.


Sinopsis Keseluruhan

Novel ini memaparkan kisah seorang pemuda yang mengalami konflik jiwa akibat kematian ibunya yang telah dibunuh oleh bapa tirinya. Kenangan pahit itu telah menjadikan Bujei atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz, akhirnya telah menjadi sasau akibat sering menjadi cemuhan, dipandang hina, dipermain dan diperbudakkan oleh masyarakat kampung malah bapa tirinya, Harun juga sering menyeksanya malah telah cuba mengambil peluang untuk merampas hak milik Bujei yang ditinggalkan oleh arwah ibunya.Hidupnya keseorangan dan menanti permata hati untuk menerangi semula sinar hidupnya. Kehadiran Adila telah mengubah segala-galanya dan Bujei mulai merasai erti sebuah kehidupan. Namun banyak ranjau duri yang terpaksa diharunginya untuk meneruskan hubungan persahabatan bersama Adila. Alias yang turut menyimpan perasaan terhadap Adila terus menyimpan dendam terhadap Bujei dan Adila. Satu demi satu rancangan jahat diatur dalam usaha untuk memiliki Adila. Bujei diperdaya hingga akhirnya dia mempercayai Adila akan mengahwini Alias malah Adila turut difitnah menghidap penyakit AIDS kerana pernah menuntut di luar negara. Dendam yang kian membara menyebabkan Alias meminta khidmat neneknya untuk mendapatkan ilmu pengasih yang akan mendorong Adila tunduk kepada kehendaknya. Alias yang dirasuk kerinduan akhirnya telah menjadi sasau dan sanggup merayu kepada Bujei untuk mengharapkan simpati serta pengertian daripada Bujei supaya memujuk Adila menerima dirinya. Akhirnya, Alias sendiri terpaksa mendapatkan khidmat daripada dukun yang sama dalam usaha untuk memulihkannya. Orang kampung pula kini telah melihat perubahan diri Bujei yang menjadi manusia normal berbanding Alias yang kini telah mengambil alih tempat Bujei. Sebelum pulang ke kota, Adila telah meluahkan isi hatinya kepada Sidang Saman dan isterinya tentang keputusannya untuk menerima Hafiz sebagai pasangan hidupnya. Adila akhirnya terpaksa kembali ke kota kerana ditawarkan pekerjaan sebagai seorang pensyarah di salah sebuah universiti swasta.

TEMA


Konflik jiwa seorang pemuda dalam mengharungi kehidupan setelah kematian kedua ibu bapa dan neneknya. Pandangan negatif orang kampung akibat fitnah yang ditabur oleh bapa tirinya telah membentuk keperibadiannya menjadi manusia abnormal. Kehadiran Adila telah membawa sinar baru dalam hidup pemuda tersebut dan kembali menjadi manusia normal seperti sediakala.

PERSOALAN

  1. Persoalan tanggungjawab membantu sesama manusia tanpa mengira sifat individu seperti yang digambarkan melalui watak Adila yang begitu optimis untuk membentuk semula keperibadian abnormal yang dihidapi oleh Hafiz.
  2. Persoalan menghormati hak individu tanpa menghilangkan hak diri sendiri yang digambarkan melalui watak Bujei atau nama sebenarnya Hafiz yang akhirnya sedar akan haknya setelah mendapat bimbingan dari Adila.
  3. Persoalan kebaikan akan mengatasi kebatilan seperti yang tergambar dalam peristiwa Alias yang cuba mengenakan ilmu pengasih terhadap Adila telah menyebabkan dia mendapat pembalasan akibat perbuatannya sendiri.
  4. Persoalan sifat kasih sayang dan hati yang luhur mampu mengubah sifat seseorang seperti yang digambarkan melalui watak Adila yang telah membimbing Bujei atau Hafiz untuk membentuk semula keperibadiannya telah berjaya mengubah Bujei menjadi insan yang berjaya.
  5. Ketegasan dalam pendirian seperti yang tergambar melalui watak Wak Senen yang tegas dalam pendiriannya untuk mengembalikan hak Bujei yang telah dianiaya oleh bapa tirinya.
  6. Persoalan jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Walaupun Adila pada asalnya begitu takut dengan Bujei, tetapi akhirnya telah memilih Bujei menjadi pasangan hidupnya. Walaupun telah bertunang dan berjanji sehidup semati dengan Faizal, tetapi akhirnya Faizal berkahwin dengan orang lain dan bukan dengan tunangnya Adila.
  7. Persoalan berani mempertahankan hak atau harta daripada dirampas oleh orang lain. Bujei telah menunjukkan sikapnya yang tegas dan tidak boleh dipermainkan oleh Alias apabila meminta ganti rugi sebanyak RM80 sebagai gentian radionya yang telah rosak akibat perbuatan Alias.

CONTOH SOALAN SPM.


SPM (Nov) ‘01
(a) Pada pendapat anda, wajarkah pengarang mengakhiri cerita seperti yang terdapat dalam novel yang anda pelajari? Berikan ulasan anda. [7m]
(b) Huraikan empat persoalan yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari itu. [8m]

SPM (Jun) ‘02
(a) Tulis sinopsis novel yang telah anda pelajari. [7m]
(b) Huraikan empat nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari itu. [8m]

SPM (Nov) ‘02
(a) Jelaskan tema novel yang telah anda pelajari. [7m]
(b) Huraikan latar masyarakat dalam novel yang telah anda pelajari. [8m]

SPM (Jun) ‘03
(a) Plot merupakan aspek penting dalam sesebuah novel.Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, jelaskan klimaks novel tersebut dan peristiwa- peristiwa yang membawa kepada kesudahan cerita. [7m]
(b) Huraikan empat latar tempat berdasarkan novel yang telah anda pelajari. [8m]

SPM (Nov) ‘03
(a) Kegigihan merupakan salah satu persoalan yang terdapat dalam novel yang anda pelajari. Buktikan pernyataan tersebut. [7m]
(b) Huraikan watak utama novel yang telah anda pelajari. [8m]

SPM (Jun) ‘04
(a) Watak utama sesebuah novel sering dikaitkan dengan pelbagai cabaran. Berdasarkan novel
yang telah anda pelajari, huraikan cabaran- cabaran yang dihadapi oleh watak tersebut. [7m]
(b) Huraikan empat pengajaran daripada novel yang anda pelajari itu. [8m]

SPM (Nov) ‘04
(a) Huraikan tiga nilai kasih sayang yang terdapat dalam novel yang anda kaji. [7m]
(b) Konflik merupakan perkara yang menarik dalam sesebuah cerita. Berdasarkan novel yang anda baca, jelaskan cara watak utama menyelesaikan konflik yang dihadapi. [8m]

SPM (Jun) ‘05
(a) Watak sampingan turut memainkan peranan penting dalam sesebuah novel.
Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, huraikan perwatakan satu daripada watak
sampingan tersebut. [7m]
(b) Pengarang banyak memberikan teladan kepada pembaca melalui peristiwa-peristiwa yang dipaparkan dalam novelnya. Jelaskan tiga peristiwa yang dapat anda teladani berdasarkan novel yang dipelajari. [8m]

SPM (Nov) ‘05
(a) Terdapat pelbagai peristiwa yang dipaparkan dalam sesebuah novel.
Huraikan dua peristiwa paling menarik dalam satu novel yang telah anda pelajari.
Mengapakah anda berpendapat demikian? [7m]
(b) Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan satu latar tempat dalam setiap novel itu. [8m]

SPM (Jun) ‘06
(a) Pertentangan antara watak banyak terdapat dalam sesebuah novel. Huraikan dua peristiwa yang menunjukkan pertentangan antara watak dalam sebuah novel yang anda kaji. [7m]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, jelaskan dua nilai kemasyarakatan daripada setiap novel tersebut. [8m]

SPM (Nov) ‘06
(a) Huraikan pengajaran yang terdapat dalam sebuah novel yang anda telah kaji. [7m]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda telah kaji, jelaskan satu persoalan daripada setiap novel tersebut. [8m]

SPM (Jun) ‘07
(a) Nilai setia kawan sering dipaparkan dalam sesebuah novel.
Huraikan dua nilai setia kawan dalam sebuah novel yang anda pelajari. [7m]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan tema dalam setiap novel itu. [8m]

SPM (Nov) ‘07
(a) Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang dapat dikaitkan dengan persoalan maruah. [7m]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajari, huraikan cara watak utama setiap novel menyelesaikan satu konflik yang dihadapinya. [8m]

SPM (Jun) ‘08
(a) Pemilihan tajuk sesebuah novel dapat dikaitkan dengan isi kandungan novel tersebut. Buktikan pernyataan di atas berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji. [7m]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, berikan tiga pengajaran yang terdapat dalam setiap novel. [8m]

SPM (Nov) ‘08
(a) Bahagian permulaan sebuah novel memainkan peranan yang penting kepada pembaca untuk
meneruskan pembacaan. Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua sebab bahagian permulaan novel itu menarik minat anda. [7m]
(b) Bandingkan, iaitu dari segi persamaan dan perbezaan, satu latar masyarakat dalam dua buah novel yang anda pelajari. [8m]

SPM (Jun) ‘09
(a) Sesebuah novel dapat menimbulkan pelbagai kesan terhadap perasaan pembaca. Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang meninggalkan kesan terhadap perasaan anda. [7m]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, huraikan satu latar masa dalam setiap novel. [8m]

SPM (Nov) ‘09
(a) Ketabahan watak utama dalam sesebuah novel membolehkannya memperoleh kejayaan.
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan dua contoh yang dapat membuktikan
pernyataan di atas. [7m]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, jelaskan satu contoh nilai kasih sayang yang terdapat dalam setiap novel . [8m]

SPM (Jun) ‘10
(a) Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang menunjukkan
kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. [7m]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu latar masyarakat dalam setiap novel. [8m]

Friday 1 February 2013

UNTUK ANAK-ANAKKU


ASSALAMUALAIKUM.....
Alhamdulillah setelah puas mencari akhirnya cikgu berjumpa dengan satu laman yang mungkin boleh membantu anak-anak dalam memahami pola-pola ayat dasar. Agar perkongsian ini dapat membantu sahabat pendidik dan anak-anak didik.  Sila klik di sini.